Ahad, 20 Oktober 2019

MELANGKAH KE HADAPAN


Berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025, Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) telah membina satu "One Page Management Tool" (OPMT) yang merupakan tumpuan khusus KPPM dalam meneruskan amanah yang diberi untuk meletakkan pedidikan negara sebaris dengan negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia. OPMT ini disebarluaskan dengan harapan ia dapat diterjemahkan melalui tindakan yang berterusan.

OPMT ini melihat pelaksanaan PPPM dalam deminsi yang berbeza. Empat tema perbincangan yang diutarakan dalam OPMT iaitu PENDEKATAN, SASARAN MIKRO, BIDANG TUMPUAN dan PROGRAM STRATEGIK.

Sabtu, 19 Oktober 2019

PEMBELAJARAN BERORIENTASIKAN PERKEMBANGAN


Perubahan orientasi peperiksaan  kepada orientasi pertumbuhan? Adakah seiring dengan syarat kemasukan ke universiti?

Bila saya sebut perubahan kepada orientasi pertumbuhan menggantikan orientasi peperiksaan, di peringkat sekolah kita jelas tentang perkara ini.
Yang jadi masalah sebelum ini, kita meletakkan peperiksaan itu pada tempat yang tidak betul, pada masa yang tidak betul.
Peperiksaan itu bagus jika kita gunakan pada tempat dan masa yang  betul. Bukan saya kata peperiksaan tak bagus, tetapi kita ada sekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima atau tingkatan enam.
Orientasi peperiksaan ini menyebabkan gaya kita berfikir dan  tindakan ibu bapa itu terlalu berlebihlebihan sampaikan pada tahun satu murid sudah didedahkan dengan peperiksaan.
Lebih teruk sekarang ini, jika kita tak bendung, peringkat tadika pun dah mula ada peperiksaan. 
Saya dah berbincang secara profesional dengan guru-guru dan kami  memutuskan peperiksaan itu betul tetapi jangan sampai mewarnai keseluruhan cara kita  mendidik murid.
Peperiksaan itu bila masanya? Tingkatan lima... tingkatan lima itu  adalah tempat yang sesuai peperiksaan awam diberikan tumpuan.
Sebab SPM itulah yang digunakan oleh pelajar untuk keluar bekerja atau ke peringkat pengajian tinggi.
Ketika itu boleh diberi tumpuan tapi kalau setakat UPSR, kenapa kita mesti 'all out'?
Dalam Kementerian Pendidikan, UPSR itu bukan peperiksaan awam seperti SPM. UPSR dari segi dasar polisi hanya untuk melihat sejauh mana murid mencapai tahap pendidikan rendah yang dipanggil sebagai 'check point' pada peringkat asal tapi bukan 'all out' sampai macam SPM.

(Temu bual Editor GPSBestari Wan Normi Hasan dan Wartawan Faezah Muda bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin membincangkan kedudukan UPSR, PT3 dan SPM serta perubahan orientasi pendidikan negara)

NARATIF BAHARU AMALAN PENDIDIKAN


NARATIF BAHARU AMALAN PENDIDIKAN
"Kita perlu mengembalikan sistem pendidikan negara ke jalan yang betul." Menegaskan perkara ini, YBhg Datuk Dr Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) berkata, penekanan akan diberi kepada "naratif baharu amalan pendidikan."
"Saya ingin mengembalikan dari naratif yang berorientasikan peperiksaan kepada naratif yang berorientasikan bukan peperiksaan, yang berorientasikan pertumbuhan, berorientasikan perkembangan," kata beliau ketika berucap pada Seminar Pendidikan Kebangsaan KGMMB 2019 di Kuala Lumpur pagi ini.
Ucapan beliau memfokus kepada "Naratif Baharu Amalan Pendidikan: Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPPM 2019".
YBhg Datuk Dr Amin mengajak semua pemegang taruh supaya berganding bagi membetulkan naratif semasa yang menekankan peperiksaan.
"Saya minta kita sama-sama mengubah kepada naratif yang baharu."
Pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan perkembangan menekankan kepada usaha membina watak dan membangun sahsiah, dan merapatkan jurang dan meningkatkan prestasi.
Kata beliau, itu sebabnya YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan pada tahun lalu telah mengumumkan bahawa peperiksaan Tahap Satu bagi murid tahun 1 hingga 3 akan dimansuhkan mulai 2019.
Peperiksaan itu akan digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif.
Dalam Amanat YB Menteri Pendidikan 2019, YBhg Datuk Dr Amin berkata, YB Dr Maszlee menekankan tiga teras sistem pendidikan iaitu "yang berorientasikan nilai, menekankan kualiti dan memberi autonomi."
Seminar ini dianjurkan oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).